teOri GaYa AsuHan
Ibu bapa pada hari ini berhadapan dengan berbagai cabaran di dalam mendidik anak-anak. Mereka wajib memastikan anak-anak membesar dengan sempurna dari segi material seperti makanan, pakaian dan kediaman. Begitu juga pentingnya menyediakan dan menyemai jiwa anak-anak dengan pendidikan yang merangkumi pembentukan akal, jasmani, rohani, akhlak dan sosial. Suasana persekitaran memberikan tekanan kepada ibu bapa dalam menangani cabaran tersebut. Keperluan menambahkan pendapatan memerlukan kedua ibu bapa bekerja telah mengurangkan masa bersama dengan anak-anak.
Dalam konteks kanak-kanak, kesedaran pendidikan awal kanak-kanak perlu dilihat sebagai satu proses yang berterusan berkembang serentak dengan perkembangan individu seorang kanak-kanak yang mempelajari apa sahaja yang ada di persekitaran dan dengan ‘ilmu’ atau kemahiran yang diperolehi ia akan mengaplikasikannya dalam konteks yang pelbagai sama ada dalam kehidupan sehariannya di ketika itu ataupun sebagai persediaan untuk kehidupannya di masa yang akan datang (Department of Education and Science, 1990).
Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam hal ini, kanak-kanak perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal. Apa yang membezakan ialah Islam menekankan pembentukan sahsiah seseorang kanak-kanak bukan hanya pada kelakuan fizikal bahkan pengamalan akhlak peribadi perlu diterapkan seiring dengan penerapan keimanan di dalam roh dan jiwanya.
Kesemua ibu bapa secara naturalnya menginginkan anak-anak yang berjaya dalam hidupnya. Menjadi suatu harapan bagi kedua ibu bapa semasa dikandungan lagi anak yang dilahikan nanti sempurna tubuh badan, akal dan hidup berjaya untuk menjadi penyambung keturunan mereka. Di dalam surah al-Furqan Allah S.W.T berfirman maksudnya:
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah Kami pemimpin ikutan bagi orang-orang Yang (mahu) bertaqwa.
Selain itu setiap pasangan ibu bapa perlu menghayati maksud hadis seperti sabda Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Muslim “Apabila mati anak Adam terputus darinya melainkan tiga perkara anak soleh, ilmu bermanfaat dan sedekah jariah”
Tanggungjawab ibu bapa juga dinyatakan dalam sebuah hadis “Setiap anak dilahirkan di atas fitrah, maka kedua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani atau Majusi” Fitrah di sini bermaksud Islam oleh itu setiap anak-anak dilahirkan sebagai seorang Muslim maka ibu bapanya yang bertanggungjawab memberikan ajaran agama yang sempurna supaya anak tersebut kekal di atas fitrah Islamnya dan memastikan anak tersebut tidak dipengaruhi oleh suasana persekitaran yang akan merosak dan menjejaskan fitrah kejadiannya.
Realiti kehidupan pada masa kini semakin parah apabila banyak isu-isu tentang keruntuhan akhlak bukan di kalangan remaja tetapi di kalangan dewasa yang bergelar ibu bapa. Di petik daripada rencana oleh Dr. Abd. Rahim Md. Nor di Utusan Malaysia, 17 November 2011 menjelaskan analisis data perceraian yang berlaku di Malaysia iaitu sebanyak 135,136 perkahwinan didaftarkan pada 2009, manakala terdapat 27,116 kes perceraian pula direkodkan pada tahun berkenaan. Kalau benarlah kadar perceraian di kalangan pasangan Islam di negara ini sedang meningkat, kita bukan sahaja sedih tetapi keliru. Pasangan bercerai kerana tidak faham zon tanggungjawab masing-masing, sebagai suami atau isteri. Mereka berpisah kerana wang yang tidak cukup untuk memuaskan hati pasangan masing-masing, sedangkan kos hidup semakin meningkat, terutama mereka yang tinggal di Lembah Klang.
Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh berkata, semakin ramai ibu bapa yang melupakan tanggungjawab mendidik nilai integriti di rumah kerana beranggapan anak-anak akan diterapkan dengan nilai integriti melalui pembelajaran di sekolah. Dapatan satu kajian yang dijalankan oleh IIM, hampir 30 peratus ibu bapa di Malaysia kurang meluangkan masa makan malam bersama anak-anak. ''Pada waktu siang, ibu bapa sibuk di pejabat jadi mereka perlu gunakan waktu malam dengan sebaiknya iaitu duduk makan bersama anak-anak sambil berbincang mengenai aktiviti semasa serta perkembangan anak- anak. ''Ini akan membuatkan anak-anak tidak berasa diabaikan dan dalam masa yang sama, ibu bapa menjadi contoh yang baik kepada mereka serta memudahkan proses menerapkan nilai integriti dalam diri anak- anak,'' jelasnya. (Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan)
Nooh Gadot dalam kertas kerjanya Masyarakat, Pendidikan dan Pembentukan Keluarga Islam Berkualiti menyatakan bahawa keluarga Islam menghadapai masalah pergaulan dan cara hidup seperti kelemahan komunikasi dalam keluarga, salah laku perhubungan, generasi muda tidak menghormati yang tua dan ibu bapa kurang memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Seterusnya beliau menegaskan keluarga Islam berhadapan dengan dua cabaran dalaman dan luaran. Dalaman seperti kehidupan yang tidak berasaskan iman, takwa dan ihsan, ilmu pengetahuan tidak mencukupi, tidak ada role model dalam keluarga, hubungan kekeluargaan yang renggang, tidak ada suasana keislaman dalam keluarga, pembahagian masa tidak sekata di kalangan ahli keluarga, faktor kemiskinan manakala cabaran luar ialah penglibatan ibu bapa dalam aktiviti luar sehingga menjejaskan tanggungjawab di rumah, pergaulan dengan kumpulan yang rendah akhlak, pengaruh media massa dan tidak bijak memilih kerjaya yang bersesuaian dengan ibu bapa.
secara kesimpulannya, asuhan yang diberikan amatlah penting kepada kanak - kanak. kawan - kawan sekalian, didiklah diri kita bermula dari saat ini untuk menjadi anak - anak yang baik untuk kedua ibu bapa kita demi mendapatkan anak - anak yang baik pada masa hadapan. InsyaAllah...
untuk topik yang akan datang saya akan membincangkan tentang kajian kesedaran ibu bapa terhadap pendidikan awal kanak - kanak.
jumpa lagi...
Comments
Post a Comment